Pengalaman: Perjalanan Kota Kinabalu-Tawau Melalui Kalabakan 2017


Pada 27 Ogos 2017 (Ahad) yang lepas, kami telah tiba di Tawau dari Kota Kinabalu melalui Jalan Kalabakan dengan hanya menaiki Perodua Axia. Perjalanan kami mengambil masa hampir 10 jam kerana singgah dibeberapa tempat untuk berehat. Menurut GPS, masa yang diperlukan untuk sampai adalah 7 jam 12 minit.

Berbekalkan minyak penuh dari Kota Kinabalu, kami bergerak dengan harapan agar perjalanan lancar dan mudah memandangkan ini adalah pertama kali kami berjalan darat dari Kota Kinabalu ke Tawau melalui Kalabakan. Segala persiapan sebelum perjalanan yang jauh ini sudah dilakukan sehari sebelum itu.

Kami bertolak ke Papar seawal jam 8.30 pagi dan tiba di sana kira-kira 9.20 pagi. Memandangkan ini merupakan pertama kali kami bergerak dari Kota Kinabalu ke Tawau melalui Kalabakan, perjalanan kali ini ditemani oleh mak cik kami yang juga ingin ke Tawau melalui Kalabakan. Kami dimaklumkan bahawa jalan tersebut agak teruk dan 'line' telefon tidak ada sepanjang perjalanan di sana nanti. Mereka risau kalau-kalau kereta kami bermasalah dan tiada sesiapa yang akan dapat dihubungi pula. Keluarga mak cik menaiki Toyato Hilux 4WD dan akan berjalan di hadapan kami. Saya memandu dengan kelajuan yang sederhana dan berhati-hati kerana membawa anak kecil yang perlukan perhatian.

Perjalanan dari Papar ke Keningau tidak begitu bermasalah. Cuma untuk yang pertama kali melalui jalan tersebut, anda akan melalui jalan yang agak berbukit dan curam. Berhati-hati ketika memandu kerana terdapat golongan pemandu yang tidak sabar dan kerap memotong secara tiba-tiba ketika sedang menuruni bukit. Ketika tiba di Keningau, hanya 2 bar minyak yang digunakan. Kenalan saya yang kerap memandu ke Tawau melalui Kalabakan menasihatkan agar mengisi minyak penuh setibanya di Keningau kerana tiada lagi stesen minyak selepas itu. Sempat juga kami singgah di tamu berhampiran balai polis Keningau.

Kemudian, perjalanan diteruskan menuju Nabawan. Jalan raya dari Keningau ke Nabawan juga agak baik. Sesekali saya sedar akan pondok-pondok tepi jalan yang ada menjual minyak kereta. Mungkin harganya lebih mahal daripada biasa. Kami berhenti sekejap di masjid Nabawan untuk solat jamak zohor dan asar. Dari Nabawan perjalanan diteruskan hinggalah ke Sapulut. Jalannya juga agak baik walaupun kadang-kala jalan ada yang berlubang.

Bermula dari Sapulut ke Kalabakan, di sinilah ujian bermula. Jalan raya telah diturap, namun terdapat sebahagian jalan yang rosak akibat lori balak dan tanah runtuh. Lubang-lubang yang ada di jalan juga lebih dalam dan agak bahaya jika tidak berhati-hati. Ketika kami tiba di Sapulut, hujan mula turun. Jalan yang rosak sangat berlumpur dan bertakung air. Rancangan saya untuk mengambil gambar kawasan jalan yang rosak terjejas kerana hujan yang turun. Untuk kenderaan jenis pacuan empat roda, tiada masalah untuk melalui jalan tersebut. Walau bagaimanapun, usah terkejut jika melihat kenderaan pacuan empat roda turut mengelak lubang-lubang yang ada di sepanjang jalan dari Sapulut ke Kalabakan kerana terdapat lubang yang memang agak dalam dan besar. Nasihat khas untuk pemandu kereta kecil seperti Axia ini perlulah lebih berhati-hati dan bergerak perlahan-lahan. Jika anda memandu kenderaan pacuan empat roda, berhati-hatilah ketika ingin memotong kenderaan yang ada di hadapan anda. Jalan yang rosak penuh dengan batu-batu kecil yang akan terpelanting ke arah kereta orang lain jika anda memandu laju. Beberapa kali batu terpelanting ke arah cermin depan kereta kami. Syukur tiada cermin yang pecah. Harus diingat, kawasan ini tidak ada 'line' dan kalau-kalau kenderaan rosak dan sebagainya, agak susah untuk meminta bantuan daripada orang lain. Sesekali kami melihat kenderaan yang berhenti kerana masalah tayar. Kesian juga saya melihat mereka menukar tayar dalam keadaan hujan. Menurut kenalan kami, kadang-kala kawasan jalan raya ke Kalabakan akan dilalui oleh haiwan liar seperti gajah. Berhati-hati sahaja ketika memandu, jangan pula terlanggar spesis hidupan liar yang terancam. Sebagai persiapan, simpanlah lagu-lagu kegemaran anda di dalam 'pendrive' dan dengarkan lagu tersebut di sepanjang perjalanan ke Kalabakan kerana siaran radio juga tiada.


Jalan raya yang rosak dan berlumpur.

'Buli ka kami limpas ni?'

Jalan raya berbatu-batan.
Baki perjalanan dari bulatan Kalabakan ke Tawau saya fikir sangat baik. Ladang kelapa sawit akan menemani anda sepanjang perjalanan. Sesekali anda akan melihat kawasan tempat tinggal orang. Jalan tiada yang rosak atau berlubang. Kami tiba di Tawau lebih kurang jam 6.30 petang. Terus sahaja saya dan isteri terfikir untuk mencari buras keesokan harinya ☺

Sawit oh sawit
Sekadar itu sahaja pengalaman yang boleh saya ceritakan. Sebenarnya banyak yang saya fikirkan sepanjang perjalanan daripada Kota Kinabalu ke Tawau melalui Kalabakan. Melihat kawasan-kawasan luar bandar sepanjang perjalanan menguatkan semangat saya untuk lebih berusaha untuk memajukan Sabah yang tercinta ini. Setiap individu sebenarnya perlu memajukan diri dan lebih cakna mengenai situasi negeri Sabah yang agak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Kalau kita asyik menuding jari dan menyalahkan pemimpin tetapi malas untuk mengubah nasib sendiri, kita tidak akan ke mana-mana.

Selamat sampai ke destinasi. Pandulah dengan berhati-hati dan ingatlah orang yang tersayang.

Semoga tulisan mengenai pengalaman perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau melalui Kalabakan ini bermanfaat untuk anda.

Comments

  1. jln nabawan-kelabakan - sepulut mmg menyeramkan
    klu ada perancangan lalu tpt tu baik rancang masa pjlnan dri awal pgi supaya sampai ke destinasi sblm mjlang maghrib
    pastikan mknan dan air cukup kerana d hutan rimba tu hanya ada 3buah restoran

    ReplyDelete
  2. Pengalaman yang mengesankan.... Saya ingin berbagi article tentang Beijing di Forbidden City di http://stenote-berkata.blogspot.com/2018/10/beijing-di-forbidden-city.html
    Lihat juga video di https://youtu.be/mFRbH9breNk

    ReplyDelete
  3. Tk ats perkongsian....sy berkira2 utk melalui jln ini dimasa akn dtg

    ReplyDelete
  4. Kalau mau melalui jalan ini amatlah saya sarankan perjalanan anda dilakukan pada waktu siang. Ini dsebabkan keadaan jalan yg kurang baik dan berlubang2 ketika melalui jalan sapulut-kalabakan. Pemanduan pada waktu malam sgt tdk sesuai dikawasan ini disebabkan jarak penglihatan yg terbatas dgn keadaan jalan yg berlubang2. Semoga pencerahanan ini membantu perjalanan anda.tq

    ReplyDelete
  5. Las Vegas: The Dream Casino & Hotel - MJH
    The Dream Casino & Hotel in Las Vegas is one of the largest hotels in the world and the most amazing 시흥 출장안마 casino resort 영천 출장안마 in the world to 아산 출장마사지 open and was opened in April 울산광역 출장샵 of 성남 출장샵

    ReplyDelete
  6. Saya akan memandu dari KK ke Tawau, dan balik ke KK melalui Kalabakan - Sapulut bulan Disember ini. Terima kasih atas pencerahan yg banyak membantu.

    ReplyDelete

Post a Comment