Apakah tips-tips yang perlu diamalkan untuk menjadi seorang yang lebih produktif?
Jom kita amalkan tips-tips berikut!
1. Senaraikan 3 aktiviti terpenting yang anda ingin lakukan sebelum tidur.
Hal ini nampak remeh tetapi sangat mempengaruhi produktiviti anda keesokan harinya. Tanpa senarai kerja anda akan mudah terpesong dan membuang masa melakukan sesuatu yang kurang penting seperti menonton episod terbaru variety show Korea kegemaran anda.
2.Bangun awal pagi setiap hari.
Bangun di awal pagi merupakan cabaran bagi setiap orang. Terdapat pelbagai manfaat sekiranya anda mampu menjadikannya tabiat harian anda. Sebagai contoh, udara di waktu pagi merupakan antara udara yang paling segar sepanjang hari. Ini sudah tentu membantu anda untuk berasa cergas dan bersemangat. Elakkan daripada tidur semula walaupun anda mengantuk! (kecuali anda benar-benar penat)
3. Elakkan 'smartphone' anda di awal pagi.
Saya yakin hampir 99% daripada kita mula melayari laman web sosial sebaik sahaja bangun daripada tidur. Mula-mula sekadar mahu melihat status Facebook baru kawan-kawan anda atau mungkin melihat mesej-mesej terbaru dalam group Whatapps, tanpa sedar anda sudah mula tergelak sendirian melihat kucing melompat ke dalam air.
Bayangkan masa yang terbuang itu dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk melakukan aktiviti seperti mengemas tempat tidur, membersihkan rumah atau bersenam.
4. Ambil sarapan pagi yang sihat.
Manusia memerlukan tenaga untuk bekerja. Ambillah sarapan yang berkhasiat setiap pagi. Roti dan bijirin merupakan contoh sarapan yang akan memberikan anda tenaga sepanjang hari.
Kopi atau teh?
Terpulang kepada anda. Kopi dan teh memiliki kandungan kafein yang akan membuatkan anda lebih alert dan bertenaga. Selain itu, terdapat kajian yang mengatakan bahawa kafein meningkatkan daya ingatan. Sudah tentu saya sarankan anda untuk minum secawan kopi atau teh setiap pagi.
5. Bersusah dahulu, bersenang kemudian.
Dahulukan kerja yang paling susah ketika anda masih bertenaga dan bersemangat. Bilakah waktu yang sesuai? Sudah tentu di awal pagi! Sekiranya anda memilih untuk melakukan kerja-kerja yang mudah dan kurang penting terlebih dahulu, kemungkinan besar anda akan menangguh pekerjaan yang sukar itu pada hari yang lain kerana anda sudah kehabisan tenaga dan semangat.
Manfaatkan tenaga dan semangat anda dengan sebaiknya. Laksanakanlah perkara yang mencabar terlebih dahulu.
6. Buat tugasan yang ringkas dengan segera.
Jika ada sesuatu tugasan di hadapan anda yang boleh disiapkan dalam masa 2 minit, maka segeralah menyiapkan tugasan tersebut. Contohnya, segera mengemas katil sebaik sahaja bangun dari tidur. Adakah anda memerlukan 1 jam untuk sekadar menyusun bantal dan melipat selimut?
Tidak bukan?
Amalan ini sangat berkesan terutama sekali sekiranya ia berkaitan dengan kekemasan dan kebersihan. Usah biarkan tugas-tugas remeh seperti ini terkumpul dan menyusahkan anda pula.
7. Kurangkan bercakap.
Kurangkan bercakap perkara-perkara yang tidak berkaitan di dalam waktu kerja. Hentikan budaya gosip ketika bertugas. Fokus pada tugasan anda dan tidak melayan rakan-rakan sekerja yang suka bercerita kosong.
8- Elakkan 'multitasking'.
Fokus pada sesuatu perkerjaan sahaja. Sesuatu tugasan dapat disiapkan dengan lebih cepat sekiranya anda fokus.
Tips-tips untuk menjadi lebih produktif yang saya kongsi ini sebenarnya sangat berkesan kerana saya sendiri mengamalkannya. Semoga anda dapat menjadi seorang yang lebih produktif dan berjaya di dalam hidup!
Comments
Post a Comment