Apa yang patut anda lakukan selepas banjir kilat?


Pada tarikh 14 Ogos 2017, beberapa kawasan di Sabah telah mengalami banjir kilat terutama sekali di kawasan Kota Kinabalu.

Sekadar gambar hiasan.

Apakah penyebab banjir kilat?

Secara ringkasnya jumlah dan tempoh hujan merupakan dua faktor utama yang menyebabkan banjir kilat. Hujan lebat dalam tempoh yang lama menyebabkan sesuatu kawasan itu tidak mampu lagi menyerap air yang terkumpul. Biasanya banjir kilat terjadi dengan begitu pantas kurang daripada 6 jam.

Selain itu, beberapa faktor tambahan seperti proses pembandaran, hakisan sungai, kemusnahan hutan tadahan hujan dan sistem perparitan yang tidak baik turut menyumbang kepada kejadian banjir kilat.

Apa yang perlu dilakukan selepas kawasan anda dilanda banjir?


1. Peka dengan berita semasa.

Setelah banjir, peka dengan berita dan maklumat yang disampaikan oleh pihak berwajib atau berita yang disampaikan melalui media sosial. Mungkin banjir kilat yang berlaku telah mengakibatkan pelbagai kerosakan berhampiran kawasan anda. Sekiranya anda terperangkap di tempat kerja anda, pastikan anda pulang ke rumah setelah pihak berwajib memberikan 'lampu hijau' untuk menggunakan jalan raya.

2. Elakkan diri dan keluarga daripada air banjir

Elakkan diri daripada air banjir walaupun hujan sudah berhenti dan air mulai surut. Terdapat pelbagai kotoran yang tidak kita ketahui yang mungkin terdapat di dalam air banjir tersebut seperti sisa toksik, najis, kuman dan sebagainya.

3. Jangan memandu di kawasan yang tidak diketahui kedalaman airnya.

Mungkin anda terperangkap di pejabat ketika banjir melanda dan anda ingin pulang ke rumah. Ketika memandu kenderaan, elakkan daripada melalui kawasan yang tidak diketahui kedalaman air. Boleh jadi kawasan jalan raya itu lebih dalam daripada yang anda fikirkan. Kemalangan boleh terjadi sekiranya anda tidak berhati-hati.

4. Periksa kerosakan di kawasan rumah anda.

Kerosakan paip, wayar dan bangunan sudah tentu terjadi dalam kejadian banjir. Matikan sumber utama kuasa untuk mengelak renjatan elektrik.

5. Buang bekalan makanan yang telah tercemar.

Air banjir mengandungi pelbagai kotoran yang boleh menyebabkan penyakit. Buang makanan yang tercemar walaupun makanan tersebut di dalam tin.

6. Bersihkan kawasan tempat tinggal anda.

Tugas ini sukar tetapi lumpur dan air banjir mengandungi pelbagai kotoran yang tidak baik untuk kesihatan. Beberapa tip boleh anda ikut seperti di bawah.


  • Gunakan kipas angin untuk mewujudkan aliran udara. 
  • Basuh dengan menggunakan cecair anti-bakteria.
  • Jangan menghidupkan peralatan eletrik yang belum kering sepenuhnya.
  • Buang permainan seperti patung yang terkena air banjir.
  • Keringkan dokumen atau gambar yang penting.

Semoga info mengenai perkara yang perlu dilakukan selepas banjir ini membantu anda.







Sumber:

1. http://www.nationalgeographic.com/environment/natural-disasters/flood-safety-tips/

2. http://www.floodsafety.com/national/property/cleanup/




Comments