Cara-Cara Untuk Berhenti Merokok Yang Berkesan.


Tahniah kerana membaca tulisan ini! Ini adalah suatu permulaan kepada anda yang ingin berhenti merokok. Setiap kejayaan bermula dengan setapak langkah kehadapan.

Seperti yang kita tahu, merokok merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pelbagai penyakit. Terdapat pelbagai bahan berbahaya yang terkandung di dalam rokok. Asap rokok pula memberi kesan yang buruk terhadap orang lain dan juga alam sekitar. Selain itu, rokok juga merupakan aktiviti yang merugikan. Anda bayangkan sahaja jumlah wang yang dibelanjakan setiap hari untuk membeli rokok. Jika jumlah wang yang sama disimpan setiap hari, anda mampu mencapai ribuan ringgit setiap tahun.

 Tahukah anda bahawa 9 daripada 10 perokok mula merokok sebelum berumur 18 tahun dan purata umur mula merokok adalah 26 tahun?(1)

Purata perbelanjaan seorang perokok di America Syarikat adalah USD 1,500-USD 3,000 setiap tahun.(2) 

Cara-Cara Untuk Berhenti Merokok Yang Berkesan.



1. Niat.

Setiap perkara yang anda lakukan bermula dengan niat. Pastikan anda mempunyai niat yang betul untuk berhenti merokok. Sekiranya anda seorang yang beragama Islam, hukum merokok adalah haram(3). Jangan berhenti merokok semata-mata untuk mengambil hati gadis pujaan anda. Niat dan sebab ini adalah tidak kuat. Sekiranya anda gagal memikat hati seseorang gadis itu, kemungkinan besar anda akan kembali menghisap rokok. Tetapkanlah di dalam hati anda bahawa rokok itu hukumnya haram dan sangat merugikan diri serta orang sekeliling.



2. Elak pencetus kepada keinginan merokok.

Sekiranya anda seorang perokok, pasti ada pencetus kepada keinginan merokok anda. Tidak kira tempat,kawan atau situasi, hindarkan diri anda daripada perkara tersebut.

Tambahan pula, jika anda memiliki kawan-kawan yang merokok, berterus-terang sahaja dengan mereka mengenai rancangan anda untuk berhenti merokok. Jika mereka seakan cuba untuk memperlekehkan anda, kuatkan semangat dan terus kekal positif. Ingatlah bahawa merokok itu haram dan membahayakan kesihatan anda.

3. Sibukkan diri anda.

Setiap kali anda ingin merokok, segera sibukkan diri. Buat sahaja sesuatu yang boleh melupakan keinginan anda untuk merokok. Contohnya minum air, melihat akaun media sosial,membasuh tangan, mandi ataupun keluar bersiar-siar.

Selain itu, anda juga boleh cuba untuk menarik nafas yang dalam setiap kali ingin merokok. Cuba tenangkan diri anda dan ingat kesan-kesan buruk akibat merokok. Ingatlah bahawa diri anda sangat berharga kepada ibu bapa, isteri dan anak-anak anda. Jika anda sakit akibat merokok, siapalah yang akan menanggung dan menjaga mereka? Sedarlah juga asap rokok ini turut memberi kesan yang buruk kepada orang sekeliling terutama anak-anak yang masih kecil. Mahukah anda melihat anak kesayangan anda terlantar di hospital akibat perbuatan anda sendiri?

Kesan buruk akibat daripada rokok
Sumber: Google 

4. Meminta pertolongan.

Minta pertolongan orang lain untuk berhenti merokok. Anda tidak semestinya perlu seorang diri melawan keinginan merokok. Beritahu keluarga terdekat anda mengenai rancangan anda untuk bebas dari rokok. Sekurang-kurangnya, mereka akan sentiasa memberi semangat dan mengingatkan anda jika anda 'terbabas'.

Sekiranya anda seorang perokok tegar yang sukar untuk berhenti merokok, berbincanglah dengan doktor anda. Mungkin anda memerlukan terapi pengganti nikotin.

5. Semangat dan sikap positif untuk berhenti merokok.

Setiap hari, sentiasa ungkapkan 'saya bukan perokok' berkali-kali. Hadapi hari anda tanpa rokok dengan penuh sikap yang positif. Jangan merancang untuk berhenti serta-merta, tetapi berhentilah merokok hari demi hari. Sekiranya anda ingin merokok, tangguh terlebih dahulu niat anda. Sebagai contoh, jika keinginan untuk merokok itu memuncak, tangguhkan dulu niat anda itu. Katakan pada diri 'Esok aku akan hisap sebatang.' Keesokkan harinya pula, jika kemahuan merokok itu datang kembali, katakan benda yang sama. Tangguh niat merokok itu setiap hari. Tanpa anda sedar mungkin anda sudah sebulan bebas dari rokok.

Semoga cara-cara untuk berhenti merokok yang dikongsikan ini berguna untuk anda semua.
Selamat mencuba!




Sumber

1.https://betobaccofree.hhs.gov/about-tobacco/facts-figures/index.html

2.https://www.aol.com/2011/06/22/do-smokers-know-how-they-much-spend-on-cigarettes/

3.http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/619-merokok-hukum-dan-penyelesaiannya

Comments